Skip to content

Hartanah Nama Bersama Dalam Gadaian Yang Menjadi Harta Sepencarian

  • by


Adalah menjadi satu kewajipan bagi pemohon kes harta sepencarian untuk mengetahui butir-butir berkaitan gadaian dalam sesuatu hartanah yang menjadi harta sepencarian.


Seringkali apabila kes harta sepencarian selesai, Perintah tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana ianya terlampau idealistik, tanpa memikirkan tentang nilai semasa, baki hutang dan terma-terma pinjaman dengan pihak bank.


Permohonan harta sepencarian yang baik adalah permohonan yang mengambil kira pelbagai aspek tersebut. Justeru, sedikit kerja rumah perlu dibuat sebelum apa-apa tuntutan dibuat bagi mengelakkan hasrat pemohon tidak dapat dicapai walaupun menang kes ataupun persetujuan berjaya direkodkan.

Apabila Perintah dalam Harta Sepencarian menyatakan salah satu pihak perlu melepaskan bahagiannya, hartanah tersebut tidaklah secara automatik bertukar kepada satu nama sahaja melalui Perintah tersebut.
Pihak yang akan mengambil-alih bahagian pihak satu lagi perlu melantik peguam hartanah bagi menguatkuasakan Perintah tersebut.


Memandangkan hartanah tersebut mempunyai gadaian, peguam perlu menghubungi bank pemegang gadaian untuk memohon surat tiada halangan bagi memindahmilik bahagian yang dilepaskan tersebut. Salinan Perintah perlu dilampirkan untuk rujukan pemegang gadaian.

Walau bagaimanapun, pihak pemegang gadaian tidak semestinya akan memberi kebenaran bagi pindahmilik tersebut. Ini kerana, setiap pinjaman perumahan adalah berdasarkan produk-produk perbankan tertentu, samada konvensional atau Islamik, dan kedua-duanya pula tertakluk kepada surat tawaran (Letter Offer) masing-masing, yang mempunyai terma-terma atau pakej tertentu yang mungkin sahaja unik, bergantung kepada keadaan semasa pinjaman tersebut diperolehi.


Jika pemegang gadaian membenarkan pindahmilik tersebut, satu surat yang dialamatkan kepada Pengarah Tanah & Galian atau Pejabat Tanah Daerah akan dikeluarkan, dan akan, antara lain mempunyai ayat penting seperti berikut :
“Bank XYZ selaku pemegang gadaian dengan ini tiada halangan bagi pindahmilik dibuat daripada A Bin B kepada C Binti D, dengan syarat gadaian 123/2012 tidak terjejas”.
Surat tiada halangan tersebut membolehkan pindahmilik tersebut dilakukan, tanpa memerlukan apa-apa pembiayaan baru, dan pinjaman sedia ada dikekalkan, walaupun salah seorang penggadai atau pemilik telah dikeluarkan.


Melalui pengalaman saya pula, bank-bank Maybank, Public Bank, RHB dan CIMB sebelum ini pernah memberikan kebenaran. Perlu diingatkan bahawa dalam kesemua kes-kes yang pernah saya kendalikan, pinjaman-pinjaman tersebut adalah pinjaman konvensional.


Bank pula selaku pemegang gadaian berhak untuk menetapkan apa-apa jua syarat tambahan yang difikirkan patut, bagi menjaga kepentingan bank. Kemungkinan juga ada dokumen-dokumen baharu yang perlu ditandatangani dan disetemkan, bergantung kepada kehendak bank tersebut.


Diharapkan penjelasan ini sedikit sebanyak akan membantu pihak-pihak yang masih mempunyai hartanah dalam gadaian yang menjadi harta sepencarian.