







Hari yang bersejarah bagi negeri Terengganu apabila melaksanakan hukuman sebat ke atas dua pesalah syariah. Hukuman sebatan di khalayak umum yang dikenakan terhadap pasangan sejenis berusia 22 dan 32 tahun yang mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) Enakmen yang sama kerana musahaqah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu berjalan lancar dengan disaksikan kira-kira 100 orang, yang terdiri dari NGO-NGO, Jabatan-jabatan, Peguam-Peguam, orang awam dan media sebentar tadi.
Pada pukul 10.00 pagi, Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Terengganu, Y. A. Kamalruazmi Ismail masuk bersama-sama Hakim Kanan Syarie Mahkamah Tinggi Terengganu, Y. A. Rosdi Harun dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Terengganu,Y. A. A. Wan Mohd Zakri Wan Mohd.
Ramai yang keliru dengan sebatan syarie dimana mereka menyangka sebatannya adalah seperti sebatan sivil, malah Pengerusi Jawatankuasa Peguam Terengganu juga mengakui semasa sidang media yang beliau tidak menyangka yang sebatannya adalah sepertimana yang disaksikan tadi.
Pesalah pertama disebat enam sebatan selama kira-kira satu minit bermula jam 10.10 minit pagi hingga 10.11 pagi. Manakala pesalah kedua disebat oleh pegawai penjara lain dengan jumlah sebatan yang sama selama 52 saat, bermula dari jam 10.13 pagi.
Pesalah diberi peluang untuk membuat rayuan dan diperiksa kesihatan mereka oleh Pegawai Perubatan Bertauliah sebelum sebatan itu dijalankan.
Kedua-dua pesalah yang memakai tudung dan baju kurung serba putih kelihatan tenang dan seolah-olah mengalirkan airmata semasa proses hukuman dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia dari Kajang.
Seawal 8.30 pagi, mereka yang ingin memasuki dewan mahkamah perlu menyerahkan telefon bimbit masing-masing.
Alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar dan hukuman sebat tersebut berjalan dengan baik.
Hafez Bin Zalkapli
3 September 2018