Skip to content

Kes Nik Elin Zurina Binti Nik Abdul Rashid & 1 lagi lwn Kerajaan Negeri Kelantan

Pagi ini saya tiba awal di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi menghadiri kes NIK ELIN ZURINA BINTI NIK ABDUL RASHID dan
TENGKU YASMIN NASTASHA BINTI TENGKU ABDUL RAHMAN lawan KERAJAAN NEGERI KELANTAN selaku peguam pemerhati (watching brief).
Pihak-pihak yang dibenarkan menjadi sahabat mahkamah (amicus curae) dalam kes ini adalah Majlis Agama Islam Kelantan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Sisters In Islam.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan pula telah menfailkan permohonan bagi menjadi pencelah dan telah memasukkan hujahan bertulis dan telah berhujah pada hari ini, namun permohonan tersebut telah ditolak oleh Panel Hakim.
Manakala Badan Peguam Malaysia (Malaysian Bar), Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Majlis Agama Dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menjadi peguam pemerhati untuk membuat ‘watching brief’.
Ringkasan kes adalah seperti berikut.
Pada 30 September 2022, Pempetisyen-Pempetisyen iaitu 1. Nik Elin Zurina Binti Nik Abdul Rashid dan 2. Tengku Yasmin Nastasha Binti Tengku Abdul Rahman telah diberikan kebenaran untuk memulakan cabaran berdasarkan Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan bagi mengisytiharkan peruntukan-peruntukan tertentu di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan adalah TIDAK SAH atas alasan peruntukan-peruntukan tersebut melibatkan perkara-perkara yang bukan dalam bidang kuasa Badan Undangan Negeri Kelantan untuk membuat undang-undang.
Peruntukan-peruntukan yang dipertikai bersangkutan dengan Perkara-Perkara dalam Senarai 1 (Senarai Persekutuan), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Kebanyakannya berkaitan Undang-Undang Jenayah di bawah Perkara 4 dalam Senarai Persekutuan yang merangkumi perkara-perkara yang termasuk dalam aspek keamanan, ketenteraman, keselamatan, moral, kesihatan, atau tujuan serupa dalam lingkungan awam.
Terdapat 20 jenis kesalahan Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan yang dicabar, iaitu
1. Seksyen 5 (Dakwaan palsu);
2. Seksyen 11 (Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat);
3. Seksyen 13 (Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya);
4. Seksyen 14 (Liwat);
5. Seksyen 16 (Persetubuhan dengan mayat);
6. Seksyen 17 (Persetubuhan dengan bukan manusia);
7. Seksyen 30 (Kata-kata yang boleh memecah keamanan);
8. Seksyen 31 (Gangguan seksual)
9. Seksyen 34 (Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu)
10. Seksyen 36 (Apa-apa yang mengkhayalkan)
11. Seksyen 37 (Berjudi)
12. Seksyen 39 (Mengurangkan ukuran, sukatan dan timbangan)
13. Seksyen 40 (Melakukan transaksi muamalat yang berlawanan dengan hukum syarak)
14. Seksyen 41 (Melakukan transaksi muamalat secara riba dll.)
15. Seksyen 42 (Penyalahgunaan penandaan dan perbahasan halal)
16. Seksyen 43 (Menawar atau memberi perkhidmatan maksiat)
17. Seksyen 44 (Perbuatan sebagai persediaan untuk menawarkan atau memberi perkhidmatan maksiat)
18. Seksyen 45 (Perbuatan sebagai persediaan melakukan maksiat)
19. Seksyen 47 (Perbuatan sumbang mahram; dan/atau
20. Seksyen 48 (Muncikari)
Koram (Panel 1) pada hari ini adalah seperti berikut
1. Y.A.A. Tun Tengku Maimun Binti Tuan Mat, KHN
2. Y.A.A. Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Bin Abang Hashim, PMR
3. Y.A.A. Dato’ Mohamad Zabidin Bin Mohd Diah, HBM
4. Y.A.A. Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Bin Sebli, HBSS
5. Y.A. Tan Sri Datuk Nallini Pathmanathan, HMP
6. Y.A. Dato’ Mary Lim Thiam Suan, HMP
7. Y.A. Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, HMP
8. Y.A. Dato’ Nordin Bin Hassan, HMP
9. Y.A. Dato’ Abu Bakar Bin Jais, HMP
Kesemua peguam-peguam bijaksana akan mengemukakan hujah masing-masing bagi pihak-pihak yang diwakili dan tidak dapat dipastikan sama ada kes ini dapat diselesaikan pada hari ini atau tidak.
Hafez Bin Zalkapli
Peguam Pemerhati
17 ogos 2023