Skip to content

Kisah ‘Saman’

Dush!
Tiba-tiba sebuah penumbuk hinggap ke muka Wak (bukan nama sebenar), menyebabkan dia terasa gelap sebentar, bersama-sama dengan pening dan rasa sakit yang menggegarkan kepalanya, selain juga sakit di tempat lain, iaitu di hati dan perasaannya….
Saripdol (juga bukan nama sebenar) yang merupakan anak tiri kepada Wak sebenarnya telah lama tidak berpuashati dan memendam perasaan benci kepada bapa tirinya itu, walaupun hakikatnya, layanan bapa kandungnya ternyata lebih buruk kepada ibu kandungnya, yang telah meninggalkan ibunya selama lebih dari 10 tahun tanpa apa-apa berita dan tanpa sesen pun nafkah.
Setelah ibu Saripdol bercerai dengan suaminya yang pertama, dia ingin melupakan kesemua pengalaman buruk yang lalu dan cuba untuk membuka lembaran baru dalam hidupnya.
Oleh kerana sudah mengenali Wak sejak sekolah lagi, malah mereka pernah sekelas dan juga sudah biasa berhubung melalui ‘WhatsApp group’ sebelum ini, maka lebih mudah bagi satu hubungan yang lebih serius dijalinkan (bukan Jalen, kalau Jalen tu kicap).
Tidak pasti bagaimana mereka bercinta atau memulakan langkah pertama, akhirnya mereka berdua telah selamat bernikah.
Menurut Wak, “Saya kesian tengok dia, ditinggalkan suami dan anak-anak pun tidak tinggal bersama kerana sudah berkeluarga”.
Oh ya, Wak sebenarnya sudah ada isteri, jadi ibu Saripdol ini adalah isteri keduanya. Tidak nampak apa-apa masalah dan kesukaran untuk Wak bernikah kali kedua, mungkin isteri pertamanya tiada bantahan dan ingin memudahkan jalannya ke syurga barangkali.
Hubungan Wak dengan isteri baru pada mulanya nampak bahagia dan ceria, tetapi ia tidak berpanjangan, dan biasanya keadaan adalah lebih baik apabila mereka bersendirian berdua sahaja.
Rupa-rupanya isteri keduanya ini sebenarnya menghadapi satu masalah yang kerap dialami oleh mana-mana pasangan yang berkahwin lagi setelah perceraian atau kematian pasangan lama dengan mempunyai anak-anak dari perkahwinan terdahulu.
Kerapkali hubungan antara anak-anak dan ibubapa tiri sangat tegang, penuh tekanan dan prasangka, serta berpotensi menjadi lebih buruk dan tidak terkawal.
Kebiasaannya, anak-anak tiri akan kerap menganggap pasangan baru ibubapa mereka tidak cocok, tidak serasi dan tidak benar-benar menghargai ibubapa mereka, atau sememangnya seorang yang sangat bermasalah dan tidak sepatutnya berkahwin. Apa-apa saja isu kecil akan menjadi titik pertikaian, walaupun ianya sebenarnya sangat remeh dan tidak perlu dibincangkan pun.
Namun, disebabkan mereka tidak menyukai pasangan baru ibubapa mereka, segala perkara akan dijadikan isu untuk menghentam dan dijadikan sebab mengapa ibubapa mereka perlu berpisah dengan pasangan baru yang sememangnya tidak disukai anak-anak.
Pelbagai perkara akan dilakukan oleh anak-anak
ini, dan kebiasaannya akan menunjukkan secara terang-terangan. Ada anak perempuan yang tidak mahu bersalaman dengan bapa tiri yang diperkenalkan oleh ibu kandung mereka atas alasan bukan mahram.
Ada yang enggan mengikuti aktiviti atau apa-apa perjalanan yang melibatkan ibubapa tiri.
Keadaan akan menjadi lebih parah dalam dua keadaan, iaitu apabila mereka tinggal serumah bersama-sama, dan yang kedua, apabila ibubapa tiri juga mempunyai anak-anak mereka.
Anak-anak ini cenderung untuk tidak menghormati ibubapa tiri mereka (dan adik-beradik tiri juga) dan ada perbuatan-perbuatan yang akan mereka lakukan secara sengaja agar pendirian mereka dizahirkan, dan protes dibuat secara terang-terangan agar terlihat oleh pihak yang tidak mereka sukai. Perbuatan-perbuatan ini akan membuatkan pelaku-pelaku ini berpuashati, seolah-olah ianya satu kemenangan.
Rekod-rekod juga menunjukkan banyak perkara-perkara yang tidak sepatutnya telah berlaku dalam keluarga seperti ini, sebagai contoh, kes-kes jenayah seperti buli yang berbentuk kekasaran dan kecederaan fizikal, cabul, rogol malah ada juga yang melibatkan kematian. Banyak keluarga yang telah menjadi mangsa kejadian jenayah yang berpunca dari hubungan dingin ini, dan mungkin diluar sana, terdapat lebih banyak kes yang mungkin tidak dilaporkan.
Ada pakar yang berpendapat ibubapa yang ingin berkahwin baru perlu memperkenalkan atau membuat sesi taaruf dengan bakal pasangan dan anak-anak mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa persetujuan perlu diperolehi dari anak-anak kandung mereka.
Sehingga ke hari ini, perkahwinan sebegini tidak pernah sunyi dari masalah-masalah perhubungan anak-anak dan ibubapa tiri/adik-beradik tiri yang sebenarnya masih sama sejak dahulu dan tidak ada tanda-tanda yang ianya akan dapat diselesaikan walaupun teknologi semakin maju. Perkahwinan sebegini lazim diakhiri dengan perceraian.
Berbalik kepada kes Wak tadi, apa yang menyebabkan kemarahan anak tiri lelakinya adalah kerana Wak telah memfailkan perceraian terhadap isterinya yang merupakan ibu Saripdol dibawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003. Tapi bukan itu yang menjadi isu.
Kata Saripdol “Kenapa kau saman mak aku haaa?, tua kutuk tak sedar diri!” . Ini sebenarnya merujuk kepada Saman dan Pernyataan Tuntutan yang telah diterima oleh ibunya, yang telah ditunjukkan kepadanya. Rupanya dia tak berpuashati kerana ibunya ‘disaman’.
Wak tidak berkata apa-apa selepas ditumbuk, dan tidak juga membalas dengan apa-apa bentuk kekasaran fizikal mahupun meninggikan suara atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Saripdol.
Dengan tenang, Wak menjawab, “memang mak kau yang suruh aku pergi failkan cerai”
Saripdol yang masih tidak berpuashati telah beredar dari situ. Dia sebenarnya tidak sedar, apabila terdapat konflik antara adik-beradiknya dengan bapa tirinya, ibunya tidak tahu bagaimana hendak memainkan peranan sebagai pengaman dan pendamai.
Apabila ibunya berada dengan anak-anaknya, sudah pasti ibunya akan menceritakan tentang aktiviti dirinya dengan suaminya dengan penuh semangat dan keriangan, namun ini tidak mendapat tindakbalas yang sepatutnya atau yang diharapkan. Anak-anak ini jelasnya tidak berkongsi kebahagiaan ibu mereka. Anak-anak juga gagal memahami kesunyian yang dirasakan oleh ibu mereka selama ini. Oleh kerana anak-anak tinggal berjauhan, mereka menganggap ibu mereka baik-baik sahaja selama ini semasa masih belum berkahwin. Empati? Sifar.
Ibunya akan berbelah bagi antara suaminya dan anak-anaknya. Pada satu pihak, ibunya memerlukan suaminya, pada satu pihak lagi, ibunya takut akan kehilangan anak-anak.
Jadi apabila berdepan dengan anak-anak yang mengutuk dan mengecam bapa tiri mereka, ibu mereka akan beralah dan biasanya akan mengiyakan apa sahaja yang dikatakan anak-anaknya walaupun dalam hati terasa serba salah dan berbelah bagi. Ini akan menyebabkan anak-anak berasa ‘betullah bapa tiri ni memang jahat’, sedangkan apa yang cuba dibuat oleh ibu tadi adalah mengimbangkan kedua-dua pihak, dan takut kehilangan orang tersayang.
Keadaan yang sama juga berlaku apabila dia berdepan suaminya. Suaminya akan mengadu anak-anak tidak hormat dirinya dan berkelakuan biadap dengannya.
Sejujurnya, isterinya juga tidak tahu bagaimana hendak menghadapi situasi ini. Sangat sukar baginya untuk mengimbangkan kedua-dua pihak yang disayangi ini.
Akhirnya, Wak dan isterinya telah bercerai yang berpunca dari kegagalan hubungan tigasegi antara dirinya selaku bapa tiri, isterinya dan anak-anak tirinya. Wak sudah lama bersabar dengan karenah anak-anak tirinya tetapi akhirnya dia juga hilang kesabaran dan tidak menemui solusi kemelut ini.
Dalam kes seperti ini, anak-anak amat jarang sekali melihat isu ini dari sudut pandangan ibubapa mereka yang berkahwin baru, dan kerapkali mereka yang cuba menentukan apa yang terbaik dan apa yang tidak patut bagi ibubapa mereka, tanpa menanyakan dan menyelami perasaan ibubapa, dan menurut acuan dan neraca mereka sendiri.
Begitulah keadaannya. Bak kata pepatah Inggeris, ‘One man’s meat is another man’s poison’. Kebahagiaan bagi seseorang bukan semestinya kebahagiaan bagi orang lain. Jadi apa yang ibu tadi harap sebagai kebahagiaannya, tidak semestinya satu kegembiraan juga buat anak-anaknya.
Hafez Bin Zalkapli
Peguam Syarie
6 Julai 2023