Skip to content

Penalti Kelewatan Pendaftaran Di Pejabat Tanah

PENALTI
Apa? MU dapat Penalti? Oh bukan penalti yang itu! 🤭
Ini penalti kerana kelewatan pendaftaran di Pejabat Tanah.
Di bawah seksyen 293 Kanun Tanah Negara 1965, bayaran pendaftaran lewat
hendaklah disertakan dengan tiap-tiap suratcara urusniaga yang diserahkan selepas tiga
bulan daripada tarikh suratcara itu disempurnakan. Sebenarnya dua tarikh yang berlainan
telah wujud jika suratcara itu tidak disempurnakan oleh pihak-pihak yang berkenaan pada
tarikh yang sama. Bagi kes yang demikian, masalah mungkin timbul mengenai tarikh yang
patut diambil kira di antara dua tarikh tersebut untuk tujuan pungutan bayaran pendaftaran
lewat.
Seksyen 293 Kanun Tanah Negara :
293. Fee-fee disertakan dengan instrumen-instrumen yang dihadapkan sedemikian.
(1) Tiap-tiap instrumen yang dihadapkan untuk pendaftaran di bawah Bahagian ini hendaklah disertakan dengan:
(a) fee pendaftaran yang ditetapkan, dan
(b) jika ia dihadapkan lebih dari tiga bulan selepas tarikh berkenaan fee pendaftaran lewat yang dihitung selaras dengan peruntukan-peruntukan subseksyen (2);
dan, tertakluk kepada perenggan (b) subseksyen (3), apa-apa instrumen yang tidak disertakan sedemikian hendaklah, sebagai ganti dimasukkan dalam Buku Serahan menurut seksyen 295, dikembalikan dengan serta-merta kepada orang atau badan yang dihadapkannya.
(2) Amaun fee pendaftaran lewat yang kena dibayar berkenaan dengan mana-mana instrumen hendaklah merupakan amaun fee pendaftaran yang ditetapkan digandakan dengan bilangan tempoh tiga bulan penuh yang telah luput sejak tarikh itu:
Dengan syarat bahawa fee tersebut tidaklah dalam apa-apa kes melebihi lima kali amaun fee pendaftaran yang ditetapkan itu.
(3) Pendaftar bolehlah, jika dia berpuas hati bahawa alasan-alasan yang kuat wujud untuk serahan lewat mana-mana instrumen, atau bahawa oleh kerana apa-apa sebab lain ia adalah adil untuk berbuat demikian-
(a) membayar kembali, keseluruh atau sebahagiannya, apa-apa fee pendaftaran lewat yang ditawar kepadanya menurut seksyen ini, atau
(b) mengarahkan kemasukan instrumen itu ke dalam Buku Serahan meskipun ia tidak disertai dengan apa-apa fee sedemikian, atau dengan amaun penuh fee itu;
dan pemberian apa-apa budi bicara di bawah perenggan (b) hendaklah merupakan penepian bayaran yang dipersoalkan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, amaun yang kurang dibayar mengenainya.
(4) Tiada apa jua fee menurut seksyen ini akan dikembalikan dengan cara selain dari dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan dalam perenggan (a) subseksyen (3); dan jika sekiranya mana-mana instrumen yang telah ditarik balik di bawah seksyen 296, atau ditolak selaras dengan peruntukan-peruntukan Bab 2 atau Bahagian Sembilan Belas, dihadapkan lagi untuk pendaftaran, tiada kredit boleh diberi untuk apa-apa fee atau fee-fee yang dibayar pada serahannya terdahulu.
Dalam bahasa yang mudah, satu instrumen iaitu pindahmilik dalam Borang 14A telah diletakkan tarikh 1/6/2020. Walau bagaimanapun, ianya terpaksa didaftarkan lewat melebihi 3 bulan selepas 1/6/2020. Oleh kerana itu, bayaran penalti dikenakan bergantung kepada berapa jumlah yang dikenakan.
Jika bayaran pendaftaran RM1,500.00, bayaran sekali lewat adalah tambah lagi sebanyak RM1, 500.00. Jika dua kali lewat tambah lagi RM1,500.00 dan seterusnya.
Oleh kerana itu, kebiasaannya peguam hartanah amat peka dengan masa dan seboleh-bolehnya tidak akan melengahkan urusan pendaftaran apa-apa instrumen di pejabat tanah. Ini kerana kelewatan boleh mengakibatkan kerugian.
Namun begitu ada perkara-perkara yang kadangkala tidak kita jangka yang mungkin berlaku yang mengakibatkan kelewatan.
Dalam kes ini, ianya melibatkan Perintah mahkamah yang tidak memenuhi kehendak Kanun Tanah Negara. Apabila ini berlaku, Perintah perlu dipinda di mahkamah berkenaan, dan ianya memakan masa.
Seterusnya, ia mengakibatkan pindahmilik lewat dikemukakan untuk pendaftaran apabila Perintah tersebut siap, dan akan menarik penalti.
Walau bagaimanapun, peguam (dengan muka kesian dan sedih) boleh memohon untuk penalti tersebut dikurangkan.
Penalti ini sebenarnya di pejabat tanah dikenali sebagai Bayaran Fee Pendaftaran Lewat.
Peguam perlu mengisi borang Rayuan Pengecualian Bayaran Fee Pendaftaran Lewat / Pengenaan Sebahagian Fee Pendaftaran Lewat Perserahan.
Didalamnya, maklumat berkaitan no hakmilik, lot, mukim, jenis suratcara, bayaran pendaftaran ditetapkan, jumlah kelewatan (berapa kali), bayaran pendaftaran lewat, tarikh suratcara disempurnakan, tarikh dimajukan ke pejabat duti setem, tarikh suratcara disetemkan dan tarikh perserahan suratcara perlu diisi.
Peguam perlu menyatakan dalam borang tersebut apa punca kelewatan dan alasan-alasannya.
Bagi alasan PKP Covid-19, pengecualian akan terus diberi.
Samada penalti tersebut dapat dikecualikan atau dikenakan sedikit saja adalah tertakluk kepada budi bicara pegawai tersebut.
Hafez Bin Zalkapli
Peguam Hartanah
1 Oktober 2020