Skip to content

Penangguhan Kes Jenayah Sebagai Peguambela Baru Dilantik

Penangguhan Kes
Permohonan untuk penangguhan kes sebenarnya adalah perkara biasa.
Saya juga pernah memohon untuk penangguhan kes jenayah.
Ketika itu di Mahkamah Sesyen mungkin dalam tahun 2010 atau 2011, kes SPRM, yang mana firma saya baru saja ambil-alih.
Jadi saya pun dengan yakin dan ceria memohon kepada Tuan Hakim agar memberikan saya penangguhan barang sebulan dua, atau paling koman pun seminggu dua.
Malangnya permohonan saya ditolak, dan saya perlu meneruskan perbicaraan tersebut pada hari itu juga!
Hakim bicara yang sentiasa mencatat setiap butiran dalam perbicaraan menggunakan laptopnya telah mengarahkan jurubahasanya untuk memberikan berhelai-helai dokumen berkaitan kes tersebut untuk saya teliti dan baca dalam masa hanya sejam!
“Interpreter, bagi counsel semua dokumen”
“Mahkamah tangguh satu jam”
Polis : Court Bangguuuuuunnnnnnnnn
Mahkamah ditangguhkan untuk memberikan masa kepada saya bagi meneruskan perbicaraan.
Jadi pada hari itu, saya telah menggunakan segala skil-skil membaca laju (speed reading) dan bermacam-macam lagi skil yang diperlukan untuk menelaah (dan untuk applikasi ilmu perundangan yang berkaitan) serta mencari-cari lompang dan apa-apa kekurangan serta kelebihan dalam timbunan dokumen-dokumen tersebut.
Pada masa tersebut, saya bukan saja perlu meneliti kesemua dokumen-dokumen, tetapi juga perlu menemuduga anak guam saya (OKT), kerana saya memang betul-betul baru dilantik dan tidak mempunyai ruang waktu yang mencukupi untuk berjumpa anak guam.
Jadinya, dua perkara perlu di selesaikan dalam masa satu jam sebelum kes disambung.
Lantikan itu pula dibuat oleh keluarga kepada anak guam yang mana mereka sendiri tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang kes tersebut dan hanya berpandukan kepada apa yang dimaklumkan anak guam kepada mereka sebelum ini.
Saya tak berapa ingat apa berlaku selepas itu tapi perbicaraan diteruskan seperti biasa, dan saya meneruskan kes tersebut hingga jatuh hukum.
Bagi kami, ianya adalah “all in a day’s work”.
Seboleh-bolehnya mana-mana peguam akan berusaha keras untuk menjalankan sepertimana yang telah diarahkan oleh anak guam kami dan tidak akan mengambil mudah apa-apa tugasan yang diberikan.
Pada akhirnya kami serahkan segala-galanya kepada kebijaksanaan mahkamah.
Begitulah sedikit coretan pengalaman saya yang tidak seberapa.
Hafez Bin Zalkapli
Peguam Jenayah