Mungkin semua pihak gembira jika sesuatu kes dapat di selesaikan dengan direkodkan persetujuan setelah sudah berjaya. Tapi perlu diingat, masalah anak guam belum selesai semasa perintah persetujuan direkodkan.
Ada banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum apa yang direkodkan dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan.
Sebagai contoh bagi harta sepencarian yang melibatkan hartanah, ianya perlu dipindahmilik berdasarkan kepada perintah mahkamah yang berkaitan.
Walaupun Perintah bersih telah diperolehi dan berada dalam milikan anak guam, pindahmilik sepertimana yang diarahkan oleh mahkamah tidak boleh dibuat hanya dengan menggunakan perintah tersebut saja semata-mata.
Kanun
Ia perlu mematuhi undang-undang yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara 1965. Pindahmilik adalah salah satu daripada urusniaga yang dinyatakan oleh Kanun Tanah Negara 1965. Urusniaga seperti pindahmilik ini pula perlu menggunakan instrumen yang telah ditetapkan iaitu Borang 14A.
Oleh kerana itulah peguam yang mengendalikan kes seperti ini perlu proaktif serta berfikir jauh ke hadapan dan bersedia dengan kesemua dokumen yang perlu ditandatangani pada hari persetujuan direkodkan.Segala persiapan awal ini boleh mengelakkan bermacam-macam permasalahan dan akan melancarkan urusan semua, baik peguam atau anak guam.